fb fb fb fb fb

Air Canada sambung semula penerbangan selepas mogok empat hari

Pesawat Air Canada yang tersadai di Lapangan Terbang Antarabangsa Toronto Pearson akibat mogok/ REUTERS

TORONTO, 21 Ogos – Air Canada akan menyambung semula perkhidmatan penerbangannya pada Rabu selepas mogok hampir empat hari oleh Kesatuan Pekerja Awam Kanada (CUPE) yang mewakili 10,000 kru kabin Air Canada hingga menyebabkan lebih 500,000 penumpang terkandas.

Beberapa pesawat dilihat masih tersadai di landasan dan papan berlepas memaparkan kelewatan susulan gangguan di Lapangan Terbang Antarabangsa Toronto Pearson.

"Air Canada benar-benar diuji daripada kedua-dua pihak, pelanggan dan pekerja," kata seorang penduduk Toronto, Szuli Szava, meluahkan rasa kecewa yang dirasai di terminal sibuk itu.

"Walaupun operasi kami akan dimulakan semula, kami menjangkakan ia mengambil masa beberapa hari sebelum kembali normal," menurut kenyataan syarikat penerbangan berkenaan.

Kesatuan kru kabin dan pihak syarikat mencapai persetujuan sementara pada Selasa, namun butirannya belum didedahkan. Kesatuan berkenaan menyatakan tempoh kerja tanpa bayaran telah berakhir.

Kru kabin bertindak keluar dari tugas sejak Sabtu selepas rundingan kontrak gagal, dengan tuntutan utama melibatkan bayaran untuk tugas seperti menguruskan proses menaiki pesawat.

Setakat ini, Air Canada belum memulihkan unjuran keuntungan bagi suku ketiga dan sepanjang tahun yang sebelum ini ditarik balik akibat mogok.

Menurut penganalisis Canaccord Genuity, Matthew Lee, cadangan kenaikan gaji kru kabin dijangka meningkatkan kos tambahan sehingga C$140 juta (RM486 juta).- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI