NEW YORK, 21 Ogos – Alphabet Inc., syarikat induk Google, memperkenalkan barisan baharu telefon pintar Pixel dan peranti pintar dalam usaha memperkukuh integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI) merentas ekosistem produk syarikat itu.
Pelancaran tersebut menampilkan penambahbaikan terkini terhadap telefon pintar, jam tangan pintar dan fon telinga tanpa wayar.
Antara ciri AI baharu yang diperkenalkan menerusi siri Pixel 10 termasuk fungsi 'coach' dalam aplikasi kamera bagi membantu pengguna merakam gambar lebih baik, serta pembantu pintar yang memaparkan maklumat relevan tanpa arahan pengguna, seperti menunjukkan e-mel pengesahan penerbangan apabila menghubungi syarikat penerbangan.
Dari segi reka bentuk luaran, Google menambah lensa telefoto pada model asas bagi menyamai ciri kamera pada model premium.
Harga peranti kekal pada paras sama, iaitu bermula AS$799 untuk model asas dan AS$1,799 untuk model boleh lipat, meskipun terdapat kebimbangan mengenai potensi kenaikan harga ekoran tarif Amerika Syarikat.
Siri Pixel 10, termasuk Pixel 10 Pro dan Pixel 10 Pro XL, akan berada di pasaran hujung Ogos, manakala Pixel 10 Pro Fold dijangka pada Oktober.
Semua model dilengkapi pemproses mudah alih terkini Tensor G5 dan buat pertama kali, menyokong teknologi pengecasan magnetik Pixelsnap yang menyerupai ciri MagSafe pada iPhone keluaran Apple. Google turut memperkenalkan pengecas, sarung dan tapak telefon Pixelsnap bersama pelancaran itu.
Selain telefon pintar, Google turut mengumumkan model baharu jam tangan pintar Pixel Watch 4 dan fon telinga tanpa wayar Pixel Buds 2a, manakala Pixel Buds Pro 2 kekal tanpa perubahan ketara selain memperkenalkan warna baharu dan kemas kini perisian akan datang.
Walaupun Android menjadi sistem operasi utama bagi lebih 80 peratus telefon pintar global, siri Pixel hanya menyumbang sebahagian kecil jualan berbanding pengeluar lain seperti Samsung dan Xiaomi.
Menurut firma penyelidikan IDC, Google setakat ini memberi tumpuan kepada pasaran premium, dengan hampir tiga perempat penghantaran Pixel tertumpu di Amerika Syarikat, Jepun dan United Kingdom.
Bagi suku kedua, Google mencatat pegangan 1.1 peratus pasaran telefon pintar global, meningkat daripada 0.9 peratus tahun lalu, manakala di Amerika Syarikat, pasaran terbesar bagi Pixel, penguasaan susut kepada 4.3 peratus daripada 4.5 peratus.- REUTERS