fb fb fb fb fb

Ahli perniagaan di Vietnam dipenjara 8 tahun, babit penipuan AS$40 juta

Foto hiasan

HO CHI MINH, 25 April- Taikun minuman ringan terkenal di Vietnam dipenjarakan lapan tahun selepas didapati bersalah membabitkan kes penipuan bernilai AS$40 juta (RM191.2 juta).

Mahkamah di Ho Chi Minh mendapati Tran Qui Thanh dan dua anak perempuannya bersalah kerana menipu pelabur berhubung pinjaman yang dikeluarkan pada 2019 dan 2020.

Thanh, Pengerusi Kumpulan Minuman Tan Hiep Phat berusia 71 tahun, diputuskan mendalangi penipuan terhadap aset yang yang diletakkan sebagai cagaran terhadap pinjaman, lapor media kerajaan.

Hakim Huynh Van Truc, yang membacakan keputusan di mahkamah pada Khamis, berkata jenayah defendan telah menimbulkan bahaya kepada masyarakat.

“Defendan sangat sedar bahawa tingkah laku mereka akan dihukum oleh undang-undang tetapi mereka sengaja melakukan jenayah itu,” kata Hakim.

Thanh didakwa enggan memulangkan semula aset cagaran atas pelbagai alasan, walaupun peminjam telah membayar balik dengan faedah. Dia mendakwa mereka telah kehilangan hak pembelian semula kerana melanggar kontrak.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara empat tahun kepada anak perempuan Thanh, Tran Uyen Phuong, 43 tahun, Timbalan Ketua Pegawai Operasi syarikat.

Manakala, anak perempuan bongsunya, Tran Ngoc Bich, 40, dikenakan hukuman penjara tiga tahun.

Tan Hiep Phat merupakan salah satu syarikat minuman terbesar di Vietnam, yang terkenal dengan rangkaian teh botol dan minuman tenaga.

Dalam kata-kata terakhirnya di mahkamah, Thanh berkata dia kesal dengan apa yang berlaku dan bersedia untuk bertanggungjawab.

"Saya mohon diberi kelonggaran, beri saya peluang untuk kembali kepada masyarakat tidak lama lagi untuk bekerja dan pengabdian yang berterusan", luah Thanh.

Tranh Qui Thanh merupakan tokoh perniagaan berprofil tinggi terbaru yang dikenakan tindakan dalam usaha membanteras rasuah negara itu.-AFP

ROSLINA BINTI DIN