ROM, 5 Oktober – Sekumpulan Ahli Parlimen Itali yang menyertai Global Sumud Flotilla mengecam tindakan Israel yang disifatkan sebagai “serangan ketenteraan” terhadap kapal awam dalam misi bantuan ke Gaza.
Dalam sidang media di Rom pada Jumaat, mereka mendakwa tentera Israel membahayakan nyawa aktivis dan menyifatkan kegagalan kerajaan-kerajaan Eropah memberi tekanan politik sebagai punca misi kemanusiaan itu tidak mencapai matlamatnya.
Ahli Parlimen Maria Elena Delia menyifatkan insiden itu sebagai “serangan terhadap kapal awam,” manakala Arturo Scotto menegaskan bahawa tekanan antarabangsa sepatutnya dikenakan bagi membuka laluan ke Gaza yang ditutup sejak 2007.
Senator Marco Croatti pula menjelaskan kapal berkenaan hanya membawa makanan dan barangan asas, namun mereka tetap digelar “pengganas” oleh pihak Israel.
Israel sebelum ini memintas 42 kapal flotilla berkenaan dan menahan beberapa aktivis termasuk Greta Thunberg dan Mandla Mandela, dengan mendakwa tiada kapal yang berjaya sampai ke Gaza.
Kementerian Luar Palestin mengecam tindakan itu sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa, manakala protes solidariti terhadap flotila dilaporkan berlaku di beberapa bandar utama dunia. -VIORY