(Bangunan parlimen di London/FOTO FAIL REUTERS)
LONDON, 30 April- Seorang ahli Parlimen British digantung oleh Parti Konservatif pimpinan Perdana Menteri, Boris Johnson susulan dakwaan beliau menonton pornografi menerusi telefonnya dalam Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen itu, Neil Parish yang mendakwa membuka kandungan lucah berkenaan secara tidak sengaja, digantung oleh parti Konservatif semalam, selepas melaporkan diri kepada Suruhanjaya Standard Parlimen.
Beliau menegaskan akan terus berkhidmat sebagai Ahli Parlimen sepanjang siasatan berjalan.
Ketika ditanya wartawan sama ada beliau membuka kandungan itu secara tidak sengaja, Parish mengakui perkara itu, namun mahu membiarkan siasatan meneliti alasan berkenaan.
Media British melaporkan seorang menteri wanita mengakui melihat seorang rakan lelakinya menonton kandungan pornografi ketika berada di sebelahnya dalam Dewan Rakyat, dan Ahli Parlimen itu menonton pornografi ketika prosiding satu jawatankuasa.
(Media British melaporkan seorang menteri wanita berkata telah melihat rakan sekerja lelaki
melihat bahan lucah sambil duduk di sebelahnya dalam Dewan Rakyat/FOTO HIASAN REUTERS)
Dalam temu bual bersama akhbar The Times yang diterbitkan hari ini, isteri Parish dilaporkan tidak menyedari suaminya pernah melakukan perkara itu sebelum ini, dan menegaskan suaminya adalah seorang yang baik.
Sue Parish menyifatkan perkara itu amat memalukan dan mengakui mana-mana pihak tidak sepatutnya menonton pornografi, selain berpandangan suaminya tidak akan secara sengaja menonton kandungan itu sambil orang lain memerhatikannya.
"Wanita itu sememangnya wajar untuk rasa terganggu. Saya juga rasa terganggu," katanya. - REUTERS