BUENOS AIRES, 29 April- Sepasukan ahli paleontologi Argentina yang sedang menjalankan kerja-kerja penggalian di Patagonia, menemui rangka dinosaur yang tergolong dalam keluarga raptor terbesar pernah direkodkan.
Spesies baharu yang diberi nama Maip macrothorax berukuran sembilan dan 10 meter panjang, sementara megaraptor lain tidak melebihi sembilan meter panjang, kata seorang saintis, Mauro Aranciaga Rolando yang menyertai operasi itu.
"Binatang ini sangat besar saiznya dan kami berjaya menemui banyak peninggalan," kata Aranciaga Rolando kepada Reuters Rabu lalu, ketika fosil dipertontonkan di Muzium Sains Semulajadi Bernardino Rivadavia di sini.
Menurut Majlis Saintifik dan Penyelidikan Teknikal Kebangsaan yang pakarnya menemui rangka dinosaur itu, fosil terbabit ditemui pada Mac 2019 di wilayah Patagonian, Santa Cruz, beberapa hari sebelum sekatan pandemik COVID-19 dikuat kuasa.
Selain itu, dua saintis warga Jepun juga menyertai ekspedisi berkenaan.
(Rangka dinosaur yang tergolong dalam keluarga raptor terbesar)
Susulan pandemik, ahli paleontologi pada mulanya terpaksa mengedarkan fosil antara mereka dan menjalankan analisis di rumah masing-masing.
Dinosaur dari spesies karnivor itu dipercayai mendiami habitat yang kini menjadi hujung selatan Argentina, sejak 70 tahun lalu semasa zaman Cretaceous.
Aranciaga Rolando menjelaskan, megaraptor adalah binatang yang memiliki rangka tulang yang lincah, ekor panjang yang membolehkan ia bergerak dan mengimbangi, leher panjang serta tengkorak memanjang dengan lebih 60 gigi kecil.
Tambahnya, anggota badan 'Maip' yang tajam menjadi senjata paling berbahaya bagi binatang itu. -BERNAMA