fb fb fb fb fb

Ahli keluarga mangsa amukan di Thailand berkabung

NONG BUA LAMPHU, 7 Oktober- Ahli keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden amukan di pusat jagaan kanak-kanak di sini berkabung sementara menunggu mayat selesai dibedah siasat.

Terdapat ahli keluarga menggenggam erat mainan kanak-kanak yang maut dalam tragedi itu.

Ibu saudara salah seorang mangsa yang maut memaklumkan, dia sudah menjangka, anak saudaranya yang berusia tiga tahun terbunuh.

"Saya tahu bahawa dia akan menjadi salah seorang yang maut. Kami melihat dua mayat di luar, termasuk seorang kanak-kanak kecil, saya tahu ketika itu anak saudara saya tidak akan terselamat.

Guru kelasnya datang meminta maaf kepada saya kerana dia tidak dapat berbuat apa-apa dan telah melakukan terbaik untuk menyelamatkan mangsa, namun semua kanak-kanak tersebut terperangkap di dalam bilik," kata Suwimon Sudfanpitak.

(Ahli keluarga mangsa memegang erat mainan kanak-kanak yang terkorban dalam
insiden amukan di sebuah pusat jagaan di sini / Foto REUTERS)

Sementara itu ibu kepada salah seorang guru yang terkorban dalam insiden berkenaan memberitahu anaknya itu sedang mengandung lapan bulan.

"Dia mengandung lapan bulan dan telah bekerja di pusat jagaan itu selama dua tahun. Saya sedang bekerja ketika menerima panggilan mengatakan terdapat amukan di pusat jagaan tersebut.

Saya tahu dia tidak terselamat selepas saya cuba menghubunginya namun tidak berjawab," kata Prani Srisuthan.

Lebih 30 orang, termasuk 23 kanak-kanak terbunuh dalam insiden amukan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak tengah hari semalam.

Insiden berlaku ketika kebanyakan kanak-kanak sedang tidur.

Suspek kemudian menembak mati anak dan isterinya di rumah sebelum menembak diri sendiri.

Suspek dikenal pasti sebagai bekas anggota polis yang dipecat tahun lalu dan menghadapi perbicaraan atas pertuduhan dadah. -REUTERS

Media Baharu