fb fb fb fb fb

Ahli Demokrat gesa Biden henti penjualan senjata kepada Israel

Joe Biden/ FOTO REUTERS

AMERIKA SYARIKAT, 4 Mei - Sebahagian besar wakil rakyat Parti Demokrat Amerika Syarikat (AS) menggesa Presiden Joe Biden untuk menghentikan penjualan senjata kepada Israel.

Sepucuk surat yang ditandatangani 86 ahli Kongres Demokrat dihantar ke Rumah Putih memberi tekanan kepada Biden untuk mengambil pendirian lebih tegas terhadap sekutunya, Israel.

Penggubal undang-undang menyuarakan 'kebimbangan serius mengenai tindakan Israel yang melanggar undang-undang AS dengan menyekat aliran bantuan kemanusiaan ke Gaza'.

Tindakan tidak berperikemanusiaan Israel itu membawa kepada krisis kemanusiaan terhadap Gaza yang disifatkan tidak pernah berlaku sebelum ini," kata surat itu, memetik Agensi Pembangunan Antarabangsa AS.

Penggubal undang-undang menggesa Biden untuk menjelaskan kepada Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bahawa sebarang halangan penghantaran bantua ke Gaza adalah salah dan menyalahi undang-undang.

Surat kepada Biden yang ditandatangani itu berkata, tindakan Israel menyekat bantuan menimbulkan pertikaian sama ada regim Yahudi itu memenuhi janji untuk mematuhi peruntukan Akta Bantuan Asing AS.

Akta terbabit mewajibkan penerima pembiayaan ketenteraan dan senjata AS untuk mempertahankan dan menegakkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta membenarkan aliran bebas bantuan AS.

Mereka yang menandatangani surat itu termasuk Demokrat dalam Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Dewan dan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negeri.

Sejak bermulanya perang di Gaza, Biden telah menghadapi kritikan kerana sokongannya tanpa syarat kepada Israel. - AFP

TETITIA YUSOFF