fb fb fb fb fb

15 maut dalam kejadian tanah runtuh di Indonesia

Foto Fail/ AFP

JAKARTA, 4 Mei - Kejadian tanah runtuh di Kabupaten Luwu, Sulawesi mengorbankan 15 orang dengan berpuluh-puluh rumah dan jalan raya hanyut dan rosak, kata agensi bencana Indonesia pada Sabtu.

Indonesia terdedah tanah runtuh ketika musim hujan terutama di kawasan penebangan hutan.

Hujan lebat yang membawa kepada tanah runtuh itu berlaku pada pukul 1.00 pagi waktu tempatan, kata jurucakap agensi mitigasi bencana Indonesia (BNPB), Abdul Muhari, dalam satu kenyataan.

"Sebanyak 14 penduduk maut akibat banjir dan tanah longsor di Kabupaten Luwu, Provinsi Sulawesi Selatan," katanya.

Agensi itu berkata lebih 100 rumah rosak teruk dan 42 hanyut, manakala empat jalan dan satu jambatan rosak.

Lebih 100 orang dipindahkan ke masjid atau rumah saudara mara manakala lebih 1,300 keluarga terjejas dalam proses pemindahan.

Di kawasan lain di wilayah Sulawesi Selatan, sekurang-kurangnya seorang maut dan dua lagi cedera dalam kejadian banjir pada Jumaat, kata Abdul dalam kenyataan lain.

Pada Mac, banjir kilat dan tanah runtuh di pulau Sumatera mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang dengan masih ramai yang hilang.

Tanah runtuh dan banjir menghanyutkan berpuluh-puluh rumah dan memusnahkan sebuah hotel berhampiran Tasik Toba di Sumatera pada Disember, sekurang-kurangnya dua maut.

Indonesia mengalami rentetan peristiwa cuaca ekstrem baru-baru ini ketika musim hujan, pakar beranggapan kemungkinan disebabkan faktor perubahan iklim. - AFP

TETITIA YUSOFF