fb fb fb fb fb

Pakistan rekodkan April bulan paling basah dalam tempoh lebih 60 tahun

Pakistan mengalami bulan April paling basah sejak 1961, menerima lebih dua kali lebih banyak hujan daripada biasa bagi bulan itu, kata agensi cuaca negara itu / Foto Hiasan

ISLAMABAD, 5 Mei - Pakistan mengalami bulan April paling basah sejak 1961, menerima lebih dua kali lebih banyak hujan daripada biasa bagi bulan itu, kata agensi cuaca negara itu.

Taburan hujan pada April direkodkan pada 59.3 milimeter, melebihi purata biasa iaitu 22.5 milimeter, kata Jabatan Meteorologi Pakistan menerusi laporan iklim bulanannya.

Sepanjang bulan itu, terdapat sekurang-kurangnya 144 kematian akibat ribut petir dan runtuhan rumah akibat hujan lebat.

Pakistan semakin terdedah kepada cuaca yang tidak menentu serta hujan monsun yang biasanya berlaku pada bulan Julai.

Pada musim panas 2022, satu pertiga daripada Pakistan telah ditenggelami oleh hujan monsun yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang menyebabkan berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal dan menyebabkan negara itu mengalami kerosakan dan kerugian sebanyak AS$30 bilion, menurut anggaran Bank Dunia.

"Perubahan iklim adalah faktor utama yang mempengaruhi corak cuaca yang tidak menentu di wilayah ini," kata Zaheer Ahmad Babar, jurucakap Jabatan Meteorologi Pakistan.

Walaupun sebahagian besar Asia sedang panas terik akibat gelombang haba, suhu bulanan kebangsaan Pakistan bagi April ialah 23.67 darjah Celsius (74 darjah Fahrenheit), 0.87 darjah lebih rendah daripada purata 24.54," katanya.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN