fb fb fb fb fb

Pekerja ladang tenusu diarah pakai pelindung pernafasan atau mata

FOTO REUTERS

CHICAGO, 3 Mei - Pekerja ladang tenusu Texas yang dijangkiti virus selesema burung H5N1, tidak memakai pelindung pernafasan atau mata dan terdedah dengan lembu tenusu yang ada virus itu, menurut butiran baru mengenai kes itu.

Berdasarkan laporan New England Journal of Medicine, beberapa perkara digariskan termasuk risiko jangkitan virus terhadap pekerja ladang dan keperluan memakai peralatan perlindungan untuk mengelakkan jangkitan.

Setakat ini dilaporkan sebanyak 36 ternakan lembu tenusu di sembilan negeri dijangkiti H5N1.

Amerika Syarikat (AS) melaporkan ia merupakan jangkitan kedua terhadap penduduk di negara itu dan pertama kali bagi pekerja tenusu iaitu pada Mac lalu.

Perkara itu menimbulkan kebimbangan kerana dikhuatiri ia akan terus merebak dalam kalangan penduduk.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS dalam laporan berkata, pekerja ladang itu mengalami jangkitan serius pada mata kanannya yang dikenali sebagai konjunktivitis tetapi tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan pernafasan atau demam.

Pekerja itu mendakwa dia tidak mempunyai sebarang hubungan dengan burung yang sakit atau mati atau haiwan lain, bagaimanapun dia mempunyai pendedahan rapat dengan lembu tenusu yang sakit dengan bergejala.

CDC menggesa petani, pekerja dan responden kecemasan untuk memakai peralatan perlindungan yang sesuai apabila berada secara langsung atau rapat dengan burung yang sakit, ternakan, najis, susu mentah atau permukaan yang tercemar.

Analisis wabak yang dikeluarkan pada Khamis daripada Jabatan Pertanian AS menunjukkan virus itu telah terdedah dalam lembu tenusu AS kira-kira empat bulan sebelum dilaporkan pada 25 Mac. - REUTERS

TETITIA YUSOFF