fb fb fb fb fb

Banjir di Brazil, 39 maut

FOTO REUTERS

BRAZIL, 4 Mei - Sekurang-kuranya 39 orang terkorban dalam kejadian banjir akibat hujan lebat yang melanda Rio Grande do Sul di selatan Brazil, berpuluh-puluh orang masih hilang.

Pihak berkuasa pertahanan awam Rio Grande do Sul berkata, 68 orang masih hilang dan sekurang-kurangnya 24,000 telah kehilangan tempat tinggal akibat ribut.

Kejadian itu menjejaskan lebih separuh daripada 497 bandar di negeri tersebut, yang bersempadan dengan Uruguay dan Argentina.

"Angka-angka ini masih boleh berubah secara ketara pada hari-hari berikutnya apabila kami mendapat akses ke lebih banyak wilayah", kata Gabenor Rio Grande do Sul Eduardo Leite kepada pemberita.

Keadaan jalan di beberapa buah bandar ditenggelami air dan musnah.

Ribut itu juga mencetuskan tanah runtuh dan keruntuhan sebahagian struktur empangan di loji janakuasa hidroelektrik kecil.

Empangan kedua di bandar Bento Goncalves juga berisiko runtuh, kata pihak berkuasa dan mengarahkan orang ramai yang tinggal berdekatan untuk berpindah.

Di Porto Alegre, ibu kota Rio Grande do Sul, tebing sungai Guaiba pecah dan jalan-jalan yang dibanjiri menyekat akses ke kawasan kejiranan pusat bersejarah di bandar itu.

Hujan lebat telah melanda Rio Grande do Sul pada September lalu, apabila taufan luar tropika menyebabkan banjir yang mengorbankan lebih 50 orang.

Ia berlaku selepas lebih dua tahun kemarau berterusan akibat fenomena La Nina dengan hujan yang jarang berlaku.

Presiden Luiz Inacio Lula da Silva mengadakan lawatan ke lokasi kejadian dan berbincang bersama-sama gabenor untuk usaha mencari dan menyelamat mangsa. - REUTERS

TETITIA YUSOFF