fb fb fb fb fb

Adjara: Wajah Islam dalam kanvas Georgia

Foto REUTERS

GHORJOMI, 12 Julai – Di sebalik dominasi Kristian Ortodoks di Georgia, komuniti kecil Muslim di pergunungan Adjara terus mempertahankan keimanan mereka, meskipun berdepan tekanan sosial yang diwarisi sejak era Soviet.

Di kampung terpencil Ghorjomi berhampiran sempadan Turkiye, sebuah masjid kayu tradisional masih meriah setiap kali solat Jumaat, mencerminkan keunikan Islam yang berakar dalam identiti etnik tempatan.

Imam masjid berkenaan, Tamaz Gorgadze, berkata masjid itu sentiasa penuh pada hari Jumaat, mencerminkan komitmen penduduk terhadap ajaran Islam yang diwarisi sejak zaman pemerintahan Uthmaniyah.

“Meskipun Georgia majoriti Kristian, kami tidak melihat sebarang percanggahan antara agama dan jati diri bangsa,” katanya kepada Reuters selepas solat Aidiladha, Jun lalu.

Data bancian menunjukkan kira-kira 10 peratus daripada 3.6 juta penduduk Georgia beragama Islam, kebanyakannya etnik Azerbaijan bermazhab Syiah.

Namun, Muslim etnik Georgia, khususnya di Adjara, adalah kumpulan minoriti yang lebih sensitif kedudukannya dalam konteks identiti nasional.

Di Adjara, masyarakat Muslim beretnik Georgia kadang-kadang dicemuh sebagai “Tatar”, merujuk kepada kelompok Muslim di Rusia.

Walaupun begitu, penduduk tempatan tetap berbangga dengan warisan dan asal-usul mereka.

“Kami bangga menjadi orang Georgia. Kami berkongsi sejarah yang sama,” kata Tariel Nakaidze, anak jati Ghorjomi dan ketua Kesatuan Muslim Georgia.

Namun beliau mengakui, tekanan sosial masih wujud malah dibandingkan dengan zaman antiagama semasa pemerintahan Soviet, apabila rakyat dipaksa berpura-pura menjadi ateis di khalayak tetapi kekal beragama di rumah.

“Malangnya, selepas kejatuhan Soviet Union, tekanan itu bertukar menjadi dominasi agama Kristian Ortodoks pula,” katanya.

Georgia merupakan negara kedua di dunia yang mengisytiharkan Kristian sebagai agama rasmi sekitar tahun 319 Masihi, selepas Armenia.

Sehingga kini, identiti kebangsaan Georgia masih dikaitkan rapat dengan sejarah panjang menentang penjajahan kuasa Muslim seperti Parsi dan Turki.

Namun, Islam di Adjara mempunyai ciri tempatan yang tersendiri.

Kebanyakan masyarakatnya tidak mengambil arak atau daging khinzir seperti jiran mereka yang Kristian.

Masjid kayu warisan Uthmaniyah menjadi pusat kehidupan Muslim dihiasi ukiran dan lukisan gabungan gaya Uthmaniyah dan seni tradisional Georgia.

Bahagian luar masjid pula dilitupi besi beralun bagi menahan cuaca gunung yang ekstrem.

Di Batumi, ibu negeri Adjara yang terletak 100 kilometer dari Ghorjomi, masjid turut dipenuhi jemaah termasuk pelancong dari Turkiye dan Asia Barat, Disebabkan ruang terhad, ramai yang terpaksa bersolat di jalanan.

Imam Batumi, Tamaz Geladze, telah lama berusaha membesarkan masjid sementara yang digunakan ketika ini.

Meskipun pihak berkuasa telah memberi kebenaran, proses pembinaan masih tertangguh akibat kerenah birokrasi.

Namun beliau tetap optimis dan menghargai sejarah toleransi antara agama di Georgia.

“Kami telah hidup bersama sejak sekian lama, dalam semangat persahabatan dan dialog,” katanya. – REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD