fb fb fb fb fb

Ada bukti kukuh Israel lakukan genosid di Gaza - Pakar PBB

Seorang lelaki membawa jenazah kanak-kanak yang terbunuh dalam pengeboman Israel di Hospital al-Najar di Rafah di Gaza, semalam/AFP

GENEVA, 26 Mac- 'Kegilaan' Israel ke atas Gaza ketika ini jelas menunjukkan negara haram itu sedang melakukan genosid atau pembunuhan beramai-ramai, ujar pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Pelapor khas PBB mengenai situasi hak di wilayah Palestin, Francesca Albanese berkata, terdapat petunjuk jelas bahawa Israel telah melanggar tiga daripada lima akta yang disenaraikan bawah Konvensyen Genosid PBB.

Beliau juga memberi amaran mengenai tindakan "pembersihan etnik" di wilayah itu.

"Ciri dan skala serangan Israel yang luar biasa terhadap Gaza serta keadaan kehidupan yang merosak, yang ditimbulkan oleh Israel mendedahkan adanya niat untuk memusnahkan warga Palestin secara fizikal sebagai sebuah kelompok," katanya dalam laporan bertajuk "Anatomy of a Genocide", semalam.

Laporan "Anatomy of a Genocide" menyenaraikan perbuatan genosid itu sebagai membunuh ahli kelompok; menyebabkan kecederaan serius pada badan atau mental ahli kelompok; dan dengan sengaja menimbulkan keadaan hidup yang membawa kemusnahan fizikal keseluruhan atau sebahagian.

Menurut Albanese, kesemua ciri-ciri genosid berkenan ada pada Israel yang menjalankan operasi ketenteraannya ke atas Gaza sejak 7 Oktober tahun lalu.

Albanese, pakar bebas yang dilantik oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB bagaimanapun tidak bercakap perkara tersebut bagi pihak PBB. -AFP

SITI AISHAH MD ISA