fb fb fb fb fb

6 pesakit maut dalam kebakaran wad ICU hospital India

orang ramai cuba menyelamatkan mangsa dan memadam kebakaran yang berlaku di tingkat atas hospital / AFP

JAIPUR, 6 Oktober –Enam pesakit maut selepas kebakaran besar berlaku di wad unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sawai Man Singh (SMS) di sini, awal pagi Isnin.

Menurut seorang pegawai perubatan, Dr. Anurag Dhakad, kejadian dipercayai berpunca daripada litar pintas di wad trauma ICU yang menyebabkan api merebak pantas dan mengeluarkan asap beracun.

Beliau memaklumkan, ketika kejadian terdapat 11 pesakit di wad berkenaan dan kebanyakan mereka berada dalam keadaan koma.

“Api bermula akibat litar pintas dan merebak dengan cepat.

Pasukan trauma kami, termasuk jururawat dan petugas, segera memindahkan pesakit menggunakan pengusung ke kawasan selamat,” katanya.

Beliau memberitahu, enam pesakit kritikal gagal diselamatkan walaupun pasukan perubatan telah melakukan bantuan pernafasan (CPR).

Daripada jumlah itu, dua mangsa ialah wanita, manakala empat lagi lelaki.

Tambahnya lagi, lima pesakit lain masih dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan lanjut di hospital tersebut. -AFP

FARIS IZZAT SHAHARUDIN