fb fb fb fb fb

57 terbunuh dalam hujan monsun lebat di Pakistan

ISLAMABAD, 3 September - Sekurang-kurangnya 57 orang terbunuh dan 7,683 lagi cedera dalam kejadian hujan monsun lebat yang mengakibatkan banjir kilat dalam tempoh 24 jam di Pakistan, kata Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA).

Wilayah selatan Sindh merupakan paling teruk dengan mencatatkan 38 kematian dan 7,204 yang lain cedera, diikuti wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa dengan 17 kematian, dan wilayah lain dengan dua kematian, manakala wilayah timur Punjab melaporkan 471 orang cedera.

Selain itu, 320,680 rumah musnah dan 3,766 ternakan terjejas.

(FOTO AFP)

Jumlah kematian di Pakistan akibat hujan monsun dan banjir musim ini sejak pertengahan Jun lalu, meningkat kepada sekitar 1,265 dengan 12,577 cedera.

Sejak krisis itu, NDMA memberitahu 169,676 orang diselamatkan dengan 627,793 orang kini tinggal di kem.

Operasi menyelamat dan bantuan oleh NDMA, organisasi kerajaan, sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan sedang dijalankan di kawasan yang dilanda banjir.- BERNAMA

Media Baharu