PANAMA CITY, 7 Disember- Kira-kira 500,000 pendatang haram direkodkan merentasi hutan Darien yang berbahaya dari Colombia ke Panama tahun ini, kata kerajaan Panama pada Rabu.
Jumlah tersebut meningkat dua kali ganda berbanding tahun 2022, iaitu sebanyak 248,000 orang, kata Menteri Keselamatan Panama, Juan Manuel Pino kepada AFP.
Di sebalik perjalanan berbahaya itu, laluan Darien itu menjadi laluan utama kepada pendatang haram dari Amerika Selatan melalui Amerika Tengah dan Mexico dalam usaha untuk sampai ke Amerika Syarikat (AS).
Kebanyakan pendatang adalah dari Venezuela, namun terdapat juga pendatang dari pelbagai negara seperti Afrika, Vietnam dan Afganistan.
Memandangkan peningkatan pendatang yang semakin ketara, kerajaan Panama dengan bantuan agensi antarabangsa telah membina sebuah pusat bagi pendatang asing di seluruh negara berkenaan.
"Beribu-ribu pendatang merisikokan nyawa bersama ahli keluarga mereka untuk menyeberangi Panama.
"Mereka (pendatang) memerlukan perlindungan dan bantuan kemanusiaan", kata Oliver Dubois yang merupakan Ahli Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).
Menurut Dubois, kebanyakan para pendatang turut menjadi mangsa keganasan seksual, penculikan dan jenayah lain, katanya dalam satu sidang media di sini.
Dalam usaha mengekang kemasukan berkenaan, kerajaan Panama mengumumkan beberapa langkah pada September lalu.
Antara langkah yang diambil ialah mengusir pendatang yang memasuki negara itu secara haram.
Sementara itu, jurucakap Pertubuhan Doctors Without Borders, Luis Eguiluz dalam satu kenyataan berkata jumlah pendatang yang merentasi hutan Darien adalah bersamaan 11 peratus daripada populasi penduduk Panama.
Eguiluz berkata krisis yang tidak dijangkakan itu tidak menerima perhatian meluas.
"Pendatang "terdedah kepada situasi yang melampau. Kelaparan, kekurangan tempat perlindungan dan sumber air.
"Selain maklumat salah, penipuan, xenofobia dan keganasan fizikal dan psikologi," tambahnya.
Pada 2008, seramai 28 pendatang memasuki Panama menerusi hutan Darien direkodkan pada tahun pertama.-AFP