JAKARTA, 7 Disember - Pihak berkuasa Indonesia pada Khamis berkata mis pencarian dan penyelamatan para pendaki yang hilang atau terbunuh di Gunung Merapi telah ditamatkan.
Sejumlah 23 orang terbunuh pada kejadian yang berlaku pada petang Rabu lepas.
Gunung Merapi yang terletak di barat Sumatera meletus dengan mengeluarkan abu setinggi 3,000 meter ke udara pada Ahad lalu.
75 orang pendaki dilaporkan berada di kawasan berkenaan
Operasi mencari dan menyelamatkan yang dilancarkan menemui kesukaran lantaran letusan dari gunung Merapi yang berterusan serta cuaca buruk yang memaksa para penyelamat terpaksa berlindung.
Pihak berkuasa Indonesia dalam pada itu berkata, pihaknya percaya para pendaki yang hilang sama ada hidup atau meninggal dunia telah di selamatkan dan dipindahkan ke kawasan yang selamat.
Jurucakap Agensi Bencana dan Mitigasi Indonesia, Ichwan Pratama dalam satu kenyataan berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa ditamatkan susulan penemuan semua mangsa.
"Kesemua mangsa telah dijumpai. Mangsa terakhir yang ditemukan telah meninggal dunia.
"Oleh hal demikian, misi mencari dan menyelamat yang diketuai oleh Basarnas ditamatkan.
" Walau bagaimanapun, pihak berkuasa masih mengaktifkan pos kecemasan sekiranya terdapat ahli keluarga yang masih mencari sanak-saudara yang hilang. Mereka boleh datang dan memberikan data yang diperlukan", kata Ichwan lagi.
Indonesia kerap mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi kerana kedudukannya di Lingkaran Gunung Berapi Pasifik, di mana plat tektonik bertembung.
Merapi adalah gunung berapi paling aktif di Sumatera, dan salah satu daripada hampir 130 gunung berapi aktif di kepulauan Indonesia.-AFP