AMERIKA SYARIKAT, 20 November- Kira-kira 50 anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan sokongan mereka terhadap Kyiv, mendesak Moscow mengundurkan tenteranya dari Ukraine.
Sokongan dinyatakan ketika Ukraine memperingati 1,000 hari pencerobohan Rusia.
Moscow melancarkan serangan berskala penuh terhadap Ukraine sejak Februari 2022, mengheret Kyiv ke kancah peperangan yang berlarutan dan menyaksikan Rusia semakin terasing di pentas dunia.
"Kami mengesahkan komitmen kuat kami terhadap kedaulatan, kemerdekaan, perpaduan dan integriti wilayah Ukraine dalam sempadannya yang diiktiraf di peringkat antarabangsa," kata Duta Ukraine ke PBB, Sergiy Kyslytsya kepada pemberita bagi pihak berpuluh-puluh negara berkenaan.
Beliau membaca kenyataan itu bersama wakil daripada pelbagai negara anggota termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Argentina dan Kesatuan Eropah (EU).
"Perang ini mesti ditamatkan. Kami mengulangi desakan kami supaya Rusia menghentikan penggunaan ketenteraan terhadap Ukraine serta segera, sepenuhnya dan tanpa syarat menarik balik semua pasukan tenteranya," menurut kenyataan bersama itu.
Mesej tersebut dikeluarkan walaupun perang tidak menunjukkan tanda-tanda pengakhiran yang jelas.
Selepas Ukraine melancarkan peluru berpandu jarak jauh milik Amerika Syarikat ke wilayah Rusia buat pertama kali, Moscow memberi amaran pada Selasa bahawa ia akan bertindak balas.
Presiden Rusia, Vladimir Putin turut mengeluarkan ancaman nuklear, menandatangani dekri membenarkan penggunaan senjata itu.
"Kami mengutuk serangan tanpa henti Rusia ke atas kawasan kediaman yang mempunyai penduduk yang padat dan infrastruktur kritikal awam di Ukraine," kata kumpulan negara itu, sambil menambah bahawa serangan meningkatkan angka korban setiap hari, pemindahan penduduk dan kemusnahan.
"Perang seribu hari adalah peringatan tragis berhubung keperluan untuk kekal tegas dalam memastikan undang-undang antarabangsa diguna pakai," tambah mereka yang menandatangani kenyataan bersama itu.-AFP