fb fb fb fb fb

Pilihan raya Somaliland: Ketua pembangkang diisytihar menang

Ketua Pembangkang Somaliland, Abdirahman Cirro / Foto REUTERS

NAIROBI, 19 November-Pemimpin pembangkang Somaliland, Abdirahman Cirro, telah menewaskan Penyandang dan juga Presiden, Muse Bihi Abdi dalam pilihan raya minggu lepas, menurut kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya pada Selasa.

Keputusan berkenaan bakal membuka jalan kepada peralihan kuasa yang signifikan bagi wilayah tersebut yang berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa.

Somaliland telah menjalani pemerintahan sendiri sejak mengisytiharkan kemerdekaan dari Somalia pada tahun 1991.

Namun, ia masih belum diiktiraf oleh mana-mana negara, sekali gus menyukarkan akses kepada kewangan antarabangsa dan perjalanan rakyatnya yang berjumlah enam juta orang.

Cirro, yang merupakan pemimpin Parti Waddani, meraih 64% undi berbanding Bihi yang memperoleh 35%, menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Somaliland, Musa Hassan.

Dalam ucapan di televisyen pada Selasa, Cirro menekankan bahawa pilihan raya ini bukan sekadar kemenangan atau kekalahan bagi calon, tetapi ia adalah pilihan raya perpaduan dan semangat persaudaraan untuk meneruskan kemajuan Somaliland.

Terletak di lokasi strategik antara Lautan Hindi dan Laut Merah, Somaliland kini berusaha keras untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa setelah menandatangani perjanjian awal dengan Ethiopia pada Januari yang memberikan Addis Ababa sebuah jalur tanah di pesisir pantai Somaliland sebagai pertukaran untuk pengiktirafan.

Somaliland turut berharap bahawa pentadbiran Presiden baharu Amerika Syarikat, Donald Trump, akan memberi sokongan terhadap usaha pengiktirafan mereka.

Beberapa pegawai dasar Afrika utama dari penggal pertama Trump telah menyuarakan sokongan terhadap pengiktirafan Somaliland.

Wilayah yang berpisah ini telah menikmati tempoh keamanan relatif sejak mencapai autonomi tiga dekad lalu, berbeza dengan Somalia yang tenggelam dalam peperangan saudara yang masih berterusan.

Walaupun Cirro telah menunjukkan sokongan terhadap perjanjian dengan Ethiopia, komitmennya untuk pelaksanaan masih belum jelas.

Beberapa penganalisis berpendapat bahawa beliau mungkin lebih terbuka untuk berunding dengan kerajaan Somalia yang menentang perjanjian tersebut.

Presiden Somalia dan Djibouti, yang selama ini mempunyai hubungan tegang dengan Somaliland di bawah pimpinan Bihi, turut mengucapkan tahniah kepada Cirro atas kemenangannya.

Kementerian Luar Ethiopia juga turut menghantar ucapan tahniah kepada Cirro.

“Tahniah kepada Presiden terpilih Somaliland dan kepada rakyat Somaliland yang telah menunjukkan kematangan politik mereka,” tulis Presiden Djibouti, Ismail Omar Guelleh di X.

Presiden Somalia, Hassan Sheikh Mohamud, pula berjanji untuk meneruskan rundingan damai yang tertumpu untuk menjaga kesatuan Somalia.

Kemenangan Cirro juga berpotensi membuka peluang untuk mengeratkan hubungan dengan China, pelabur utama di Tanduk Afrika.

Menurut laporan media Somalia, Cirro sebelum ini pernah mempersoalkan nilai hubungan Somaliland dengan Taiwan, yang dilihat sebagai sebahagian daripada wilayah China, dalam usaha mereka untuk mendapatkan pengiktirafan.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD