fb fb fb fb fb

WHO lulus vaksin kedua mpox untuk kegunaan kecemasan

FOTO REUTERS

GENEVA, 20 November- Pertubuhan Kesihatan Sedunia, WHO meluluskan vaksin Mpox dari syarikat farmaseutikal Jepun, KM Biologics untuk kegunaan kecemasan, vaksin kedua yang mendapat kelulusan agensi tersebut.

Kebenaran yang diberikan di bawah prosedur Senarai Kegunaan Kecemasan (EUL) kepada vaksin LC16m8 itu bertujuan memudahkan dan meningkatkan akses kepada vaksin dalam kalangan komuniti di kawasan yang merekodkan peningkatan wabak mpox.

EUL WHO merupakan platform bagi negara-negara di seluruh dunia untuk mendapat kelulusan segera vaksin untuk diimport dan diedarkan.

"Penyenaraian penggunaan kecemasan WHO bagi vaksin LC16m8 membuktikan tindak balas signifikan kami terhadap kecemasan semasa, menyediakan pilihan baharu untuk melindungi semua populasi, termasuk kanak-kanak," kata Yukiko Nakatani, Penolong Ketua Pengarah WHO bagi akses kepada ubat-ubatan dan kesihatan produk dalam satu kenyataan.

September lalu, WHO meluluskan penggunaan vaksin mpox, MVA-BN Bavarian-Nordic, yang dimasukkan dalam senarai prakelayakan dalam usaha untuk meningkatkan usaha memerangi wabak mpox.

Agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) itu pada 14 Ogos lalu, mengisytiharkan mpox sebagai darurat kesihatan awam global ekoran peningkatan kebimbangan berhubung penularan varian baharu mpox, clade 1b dari Republik Demokratik Congo ke negara jiran.

"Setakat ini, kes mpox telah dilaporkan di 80 negara, 19 daripadanya di rantau Afrika," kata WHO.

DR Congo kekal negara paling teruk terjejas, merekodkan kes tertinggi melebihi 39,000 kes disyaki dan lebih 1,000 kematian.

Menurut WHO, kelulusan vaksin LC16m8 itu penting selaras pengumuman Jepun untuk menyumbang 3.05 juta dos LC16m8 bersama jarum khas kepada DR Congo.

"Ini adalah pakej derma terbesar yang diumumkan setakat ini sebagai tindak balas kepada kecemasan mpox semasa," katanya. -AFP

Trainee