fb fb fb fb fb

45 maut akibat hujan lebat di Yaman

Foto Fail/ AFP

DUBAI, 8 Ogos- Banjir yang dicetuskan oleh hujan lebat telah menyebabkan 45 orang maut di Yaman sejak beberapa hari kebelakangan ini, menurut laporan agensi PBB dan seorang pegawai tempatan.

Banjir kilat menyebabkan 15 maut di Maqbanah iaitu di wilayah barat daya Taez pada Jumaat, kata agensi kemanusiaan PBB, OCHA di platform media sosial X.

Di wilayah Hodeida yang dikuasai Houthi, gabenor Mohamed Qahim memaklumkan bahawa 30 orang maut dan lima lagi hilang akibat banjir, sambil menambah lebih 500 orang telah kehilangan tempat tinggal.

Ujarnya, beberapa rumah telah musnah dan lebih tujuh kereta dihanyutkan.

OCHA berkata, banjir di Taez telah menjejaskan 10,000 orang dan mengakibatkan 80 telaga tertimbus, tanah ladang dihanyutkan dan rumah rosak.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB sebelum ini berkata bahawa Yaman dijangka menyaksikan hujan terkumpul sebanyak 300 mm merentasi Dataran Tinggi Tengah dan Tanah Tinggi Selatan, dengan taburan hujan harian tertinggi (lebih 120mm) diramalkan pada 7 Ogos.

Beberapa kawasan di seluruh Yaman telah mengalami hujan lebat dan banjir sejak akhir Julai, menjejaskan kehidupan seharian rakyat di negara yang dilanda perang itu.

Pada 28 Julai lalu, OCHA telah melaporkan kematian tiga orang termasuk seorang kanak-kanak akibat banjir di wilayah Saada yang dikuasai pemberontak.

Banjir itu turut memusnahkan lebih 1,000 rumah bagi orang yang kehilangan tempat tinggal, kata OCHA, sambil menambah kira-kira 2,000 keluarga telah terjejas.

Yaman telah dicengkam oleh perang yang meletus hampir sedekad lalu apabila pemberontak Houthi yang disokong Iran merampas ibu kota Sanaa, menyebabkan kerajaan yang diiktiraf antarabangsa itu melarikan diri ke Aden.

Konflik itu telah mencetuskan salah satu krisis kemanusiaan terburuk di dunia, dengan agihan bantuan yang rumit akibat ketidakamanan dan kesukaran aspek logistik.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI