fb fb fb fb fb

40 maut, Israel lancar serangan udara di zon kemanusiaan Gaza

FOTO AFP

BAITULMAQDIS, 10 September- Tentera Israel berkata mereka telah melancarkan serangan udara ke atas pusat komando Hamas di zon kemanusiaan Gaza, awal pagi tadi.

Kenyataan itu menyebut, peluru berpandu mereka telah menyerang pejuang Hamas yang disifatkan mereka sebagai pengganas dalam satu operasi di pusat komando dalam zon kemanusiaan di Khan Yunis.

Seorang pegawai pertahanan awam Gaza memberitahu AFP seramai 40 orang terkorban dalam serangan tersebut manakala 60 cedera.

Kesemua yang mengalami kecederaan telah digegaskan ke hospital berhampiran.

Serangan tersebut berlaku dalam zon kemanusiaan Al-Mawasi di Khan Yunis, bandar utama di selatan wilayah Palestin.

Hamas dalam satu kenyataan menyatakan bahawa dakwaan pejuang mereka berada di lokasi serangan itu adalah "bohong semata-mata".

Sementara itu, Reuters melaporkan serangan udara Israel ke atas khemah perlindungan untuk pelarian Palestin membunuh dan mencederakan 65 orang di selatan Gaza, kata perkhidmatan kecemasan awam wilayah itu awal pagi Selasa, manakala tentera Israel menyatakan mereka mensasarkan pusat komando Hamas.

Penduduk dan pegawai perubatan berkata kem khemah berhampiran Khan Yunis di kawasan Al-Mawasi, yang ditetapkan sebagai zon kemanusiaan, telah diserang oleh sekurang-kurangnya empat peluru berpandu.

Kem tersebut penuh dengan pelarian Palestin yang melarikan diri dari bahagian lain di wilayah itu.

Perkhidmatan kecemasan awam Gaza menyatakan sekurang-kurangnya 20 khemah terbakar, dan peluru berpandu menyebabkan kawah sedalam sembilan meter (30 kaki).

Mereka menambah bahawa mangsa seramai 65 orang termasuk wanita dan kanak-kanak, namun tidak memberikan perincian mengenai jumlah kematian dan kecederaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE