fb fb fb fb fb

Banjir: 341 maut, 1.5 juta penduduk terjejas di Chad

Foto Fail : AFP

N’DJAMENA, 10 September- Banjir teruk di Chad berminggu-minggu menyebabkan 341 orang terkorban dan kira-kira 1.5 juta penduduk terjejas sejak Julai, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin.

Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (Ocha) berkata banjir telah melanda di kesemua 23 wilayah di negara itu.

Ia memetik data kerajaan yang memaklumkan kira-kira 164,0000 rumah telah musnah dan hampir 70,000 ekor lembu hilang serta 259,000 hektar sawah turut musnah.

Kerajaan masih belum mengeluarkan pecahan kerosakan akibat banjir yang melanda negara berpenduduk kira-kira 16 juta itu.

Minggu lalu, 14 pelajar dan guru maut apabila sebuah sekolah runtuh selepas hujan lebat melanda wilayah Ouaddai di timur.

Menjelang pertengahan Ogos, sekurang-kurangnya 54 orang telah kehilangan nyawa mereka dalam banjir di wilayah Tibesti, di padang pasir Chad jauh ke utara.

Menurut pengarah pemerhatian dan ramalan meteorologi di Agensi Meteorologi Kebangsaan Chad, Idriss Abdallah Hassan, lazimnya, hujan hampir tidak mencapai 200mm setahun di kawasan pergunungan, namun hujan lebat berlaku setiap lima atau 10 tahun.

PBB memberi amaran minggu lalu tentang kesan hujan lebat dan banjir teruk di rantau ini secara amnya, khususnya di Chad, sambil menggesa tindakan segera dan pembiayaan untuk menangani krisis iklim.

Lebih 700,000 orang telah terjejas akibat banjir teruk di Sudan Selatan, menurut pengiraan Ocha pada 5 September lalu.

Musim panas ini merupakan yang paling panas pernah direkodkan di seluruh dunia dengan suhu, gelombang haba, kemarau dan banjir teruk.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI