PHILADELPHIA, 10 September- Kamala Harris dan Donald Trump membuat persiapan terakhir menjelang perdebatan mereka yang akan disiarkan buat kali pertama sebelum Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2024.
Dengan kurang daripada dua bulan menjelang pilihan raya, perdebatan tersebut mungkin menjadi titik perubahan dalam persaingan sengit antara Naib Presiden Amerika dari Parti Demokrat dan mantan Presiden dari Parti Republikan.
Harris tiba pada Isnin, pukul 4.40 petang (2040 GMT) di bandar timur Philadelphia, di mana lokasi debat itu berlangsung, manakala Trump hanya akan tiba beberapa jam sebelum debat itu diadakan petang ini di ABC News.
Kedua-dua calon tidak pernah bertemu, dan debat tersebut bakal menonjolkan perbezaan dalam gaya antara seorang bekas pendakwa dan penjenayah yang sudah disabit kesalahan, yang pernah melemparkan komen-komen bersifat perkauman dan seksis terhadap Harris.
Fasa "bulan madu" Harris, 59 tahun, hampir berakhir, selepas beliau mengambil alih daripada Presiden Joe Biden, dengan tinjauan menunjukkan bahawa beliau perlu memaklumkan kepada pengundi yang tidak mengetahui tentang dasarnya.
Harris berucap mengenai tekanan yang semakin meningkat pada Ahad, apabila kempennya mengeluarkan dokumen berkaitan dasarnya, yang menyentuh beberapa subjek dari kesatuan sekerja dan isu kos sara hidup, hingga jagaan kesihatan.
Trump, 78 tahun, akan berada di bawah tekanan untuk mengawal diri daripada mengeluarkan kata-kata kesat serta kelakuan agresifnya semasa berdepan dengan calon presiden wanita pertama dalam sejarah AS.
Namun demikian, Trump mempunyai pengalaman, dengan enam perdebatan presiden, dan pendekatannya yang terkawal ketika menentang Biden yang agak tidak terkawal pada Jun lalu, terbukti berkesan.
Kempen Harris menyasar Trump dalam satu iklan pada Isnin, memaparkan mantan Naib Presiden AS, Mike Pence, dan mantan anggota kabinet lain yang mengatakan Trump "tidak layak untuk menjadi presiden sekali lagi".
Pence berselisih faham dengan Trump, selepas beliau enggan menyokong usaha presiden ketika itu untuk membatalkan keputusan pilihan raya pada 2020, selepas Trump kalah kepada Joe Biden.
Tinjauan terbaharu menunjukkan keadaan boleh berpihak kepada mana-mana calon.
Satu tinjauan New York Times/Siena menunjukkan bahawa Trump sedang mendahului Harris sebanyak 48 ke 47 peratus di seluruh negara.
Satu lagi tinjauan daripada ABC News/Ipsos pada Isnin menunjukkan Harris mendahului Trump sebanyak 50 ke 46 peratus.- AFP