fb fb fb fb fb

4 maut, beberapa lagi terperangkap selepas tanah runtuh di Selatan India

FOTO HIASAN/REUTERS

NEW DELHI, 18 Julai - Sekurang-kurangnya empat orang maut dan beberapa lagi dikhuatiri terperangkap selepas berlaku tanah runtuh di negeri Karnataka, selatan India, kata polis tempatan kepada Xinhua melalui telefon pada Khamis.

Tanah runtuh itu berlaku di Lebuhraya Nasional No 66 di kawasan Shirur, bandar Ankola di daerah Uttara Kannada, di tengah-tengah hujan lebat yang berterusan di wilayah itu sejak beberapa hari lepas.

Kerja-kerja menyelamat sedang dijalankan di lokasi kejadian. Pasukan Tindak Balas Bencana Nasional, Tentera Laut India dan Pengawal Pantai India terlibat dalam operasi menyelamat, kata polis.

Laporan media memetik Timbalan Pesuruhjaya Uttara Kannada, Lakshmi Priya sebagai berkata "terdapat tanah runtuh besar di Shirur, berhampiran bandar Ankola. Tujuh orang hilang, kami telah menemukan empat mayat, tetapi tiga orang masih hilang."

Pasukan penyelamat "sedang berusaha membersihkan sebelah jalan supaya kenderaan boleh melaluinya...Kami menjangkakan ia akan selesai dalam tempoh 24 hingga 48 jam lagi, tetapi keseluruhan penggalian akan mengambil masa," tambahnya. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF