SYDNEY, 8 Mac – Dua lori tentera yang terlibat dalam misi bantuan bencana di timur Australia bertembung pada Sabtu, menyebabkan 36 orang cedera, dengan sebahagian daripada mereka dikejarkan ke beberapa hospital, menurut pihak berkuasa kecemasan dan polis.
Menurut kenyataan polis New South Wales, anggota Angkatan Pertahanan Australia (ADF) cedera dalam perlanggaran yang berlaku di barat daya bandar Lismore, kawasan yang sering dilanda banjir.
Pasukan penyelamat khas dihantar ke lokasi kejadian, sementara perkhidmatan ambulans negeri mengerahkan pasukan paramedik, termasuk dua helikopter, untuk memberikan bantuan segera.
“Jumlah mangsa terakhir yang saya terima adalah 36 orang,” kata jurucakap Ambulans New South Wales, sambil menambah beberapa mangsa telah dibawa ke empat hospital yang berbeza.
Bagaimanapun, beliau tidak dibenarkan mendedahkan keadaan anggota tentera yang cedera.
Sebuah lori tentera besar dilihat terbalik di tengah jalan dengan pasukan kecemasan serta anggota tentera mengelilinginya, menurut gambar yang disiarkan dalam Sydney Morning Herald.
Beberapa anggota mengalami kecederaan serius, kata Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, dalam satu kenyataan bersama dengan Menteri Pertahanan.
“Fokus utama kami sekarang adalah kebajikan mereka yang terlibat serta keluarga mereka,” kata kenyataan itu.
“Wira ADF kami dalam perjalanan untuk membantu rakyat Australia yang memerlukan.”
Tentera Australia telah dikerahkan untuk membantu penduduk yang terjejas akibat kesan bekas taufan tropika Alfred, yang melanda sebahagian besar pantai timur dengan hujan lebat serta angin kencang.
Jurucakap Kementerian Pertahanan menyatakan bahawa anggota ADF bertugas memberikan “sokongan komuniti” kepada penduduk Lismore selepas ribut tersebut.
“Kebajikan anggota ADF dan keluarga mereka menjadi keutamaan, dan pertahanan kini memberi tumpuan kepada usaha menyokong mereka yang terlibat,” katanya.
Polis memaklumkan bahawa unit khas telah ditugaskan untuk menyiasat punca kemalangan tersebut.-AFP