fb fb fb fb fb

Empat negara Eropah sokong rancangan Mesir untuk pulihkan Gaza

Foto Reuters

ROM, 8 Mac – Menteri luar Perancis, Jerman, Itali dan Britain pada Sabtu menyatakan sokongan terhadap rancangan yang disokong oleh negara-negara Arab bagi pemulihan Gaza, yang dianggarkan menelan kos AS$53 bilion dan bertujuan mengelakkan pemindahan penduduk Palestin dari wilayah itu.

Dalam satu kenyataan bersama, para menteri berkata, “Rancangan ini menunjukkan jalan yang realistik untuk pemulihan Gaza dan menjanjikan – jika dilaksanakan – peningkatan segera dan mampan terhadap keadaan hidup yang amat buruk bagi rakyat Palestin di Gaza.”

Rancangan yang dirangka oleh Mesir dan diterima pakai oleh pemimpin Arab pada Selasa lalu itu bagaimanapun ditolak oleh Israel serta Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang mengemukakan visinya sendiri untuk menjadikan Semenanjung Gaza sebagai “Riviera Timur Tengah.”

Cadangan Mesir merangkumi pembentukan jawatankuasa pentadbiran yang terdiri daripada teknokrat Palestin yang bebas dan profesional untuk mentadbir Gaza selepas berakhirnya peperangan antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin, Hamas.

Jawatankuasa itu bertanggungjawab dalam penyeliaan bantuan kemanusiaan serta pengurusan urusan di Gaza untuk satu tempoh sementara di bawah pengawasan Pihak Berkuasa Palestin.

Kenyataan yang dikeluarkan keempat-empat negara Eropah itu menegaskan komitmen mereka untuk bekerjasama dengan inisiatif Arab serta menghargai “isyarat penting” yang ditunjukkan oleh negara-negara Arab dalam membangunkan rancangan tersebut.

Kenyataan tersebut turut menekankan bahawa Hamas “tidak boleh lagi mentadbir Gaza atau menjadi ancaman kepada Israel,” serta menyatakan sokongan terhadap “peranan utama Pihak Berkuasa Palestin dan pelaksanaan agenda pembaharuannya.”-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN