fb fb fb fb fb

31 maut dalam nahas bas di Bolivia

Foto AFP

LA PAZ, 4 Mac- Sekurang-kurangnya 31 orang maut pada Isnin apabila sebuah bas terjunam ke dalam gaung selepas bertembung dengan sebuah trak pikap di wilayah selatan Bolivia.

Kejadian itu menjadikan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di kawasan tersebut mencecah hampir 70 orang dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.

Nahas tersebut berlaku di wilayah Potosí, kira-kira 90 kilometer di utara bandar Potosí dan melibatkan penumpang yang pulang daripada Karnival Oruro, salah satu festival terbesar di Amerika Latin.

Karnival berkenaan menarik puluhan ribu pengunjung setiap tahun.

Menurut penyiasat, pemandu trak pikap disyaki telah memasuki lorong bertentangan dan melanggar bas tersebut, menyebabkan bas terbabit terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira setengah kilometer.

Dalam kejadian tersebut, 22 orang turut mengalami kecederaan.

Jurucakap polis, Limberth Choque, memaklumkan kepada AFP bahawa pemandu trak pikap tersebut telah ditahan di hospital dan kini menerima rawatan susulan kecederaan yang dialaminya.

Pejabat Pendakwa Raya memaklumkan bahawa pemandu tersebut sedang disiasat atas kemungkinan menyebabkan pembunuhan dan kecederaan serius.

Pakar forensik kini giat mengumpul bukti di lokasi kejadian untuk membantu siasatan.

Menurut data kerajaan, purata 1,400 orang maut setiap tahun akibat kemalangan jalan raya di Bolivia, negara yang mempunyai kira-kira 12 juta penduduk.

Wilayah Potosí mencatatkan 10.6 peratus daripada keseluruhan kemalangan jalan raya di Bolivia, menurut data daripada Balai Cerap Keselamatan Warga Bolivia.

Setakat ini, lebih 120 orang telah terbunuh di jalan raya wilayah Potosí pada tahun ini sahaja.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM