MOSCOW, 4 Mac- Parti Demokratik Sosial (SPD) Jerman memenangi Pilihan Raya Parlimen di Bandar Hamburg dengan memperoleh 33.5 peratus undi selepas semua kertas undi dikira, menurut keputusan awal yang diterbitkan pada Isnin oleh Pejabat Statistik Hamburg dan Schleswig-Holstein, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Keputusan SPD itu menunjukkan penurunan sebanyak 5.7 mata peratusan berbanding pilihan raya 2020 apabila parti itu memperoleh 39.2 peratus undi.
Kesatuan Demokratik Kristian dan Kesatuan Sosial Kristian (CDU/CSU) berada di tempat kedua dengan 19.8 peratus undi, meningkat 8.6 mata peratusan.
Parti Hijau menduduki tempat ketiga dengan 18.5 peratus, susut 5.7 mata peratusan berbanding 2020. Parti Kiri dan Alternatif untuk Jerman (AfD) turut berjaya memasuki parlimen dengan masing-masing memperoleh 11.2 peratus dan 7.5 peratus undi.
Seperti dalam Pilihan Raya Persekutuan, Parti Demokratik Bebas (FDP) dan Sahra Wagenknecht Alliance - Reason and Justice (BSW) gagal mencapai ambang lima peratus yang diperlukan untuk memasuki parlimen.
Dengan kemenangan ini, SPD bakal memperoleh 45 daripada 121 kerusi di Parlimen Hamburg, manakala CDU/CSU mendapat 26 kerusi, Parti Hijau 25, Parti Kiri 15, dan AfD 10 kerusi.
Pilihan Raya Parlimen di Hamburg berlangsung pada Ahad dengan pusat mengundi dibuka sehingga pukul 6 petang waktu tempatan (17:00 GMT). Kadar keluar mengundi dicatatkan pada 67.7 peratus.
Hamburg merupakan kubu kuat SPD yang diketuai Canselor Olaf Scholz, yang pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar pertama bandar itu dari 2011 hingga 2018.- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI