GAZA, 27 Julai- Kementerian kesihatan di Gaza memaklumkan, serangan Israel ke atas sebuah sekolah yang menempatkan hospital medan pada Sabtu, membunuh sekurang-kurangnya 30 orang dan mencederakan lebih 100 orang.
Tentera Israel berkata ia melakukan serangan ke atas sekolah yang menyasarkan tentera Hamas yang beroperasi dari sana.
"Serangan ke atas sekolah Khadija, yang mempunyai unit perubatan lapangan di dalamnya, di kawasan Deir el-Balah, mengakibatkan 30 syahid dan lebih 100 cedera," kata kementerian kesihatan di Gaza dalam satu kenyataan.
Agensi pertahanan awam Gaza berkata bahawa sekolah itu menempatkan kira-kira 4,000 pelarian yang telah berlindung di sana.
Tentera Israel berkata dalam satu kenyataan bahawa serangan itu dilakukan berikutan risikan yang mendapati Hamas beroperasi dari sana.
Hospital medan yang terletak di dalam sekolah itu adalah milik Hospital Syahid Al-Aqsa di Deir el-Balah, menurut pengarah hospital Khalil al-Daqran.-AFP