fb fb fb fb fb

FBI sahkan telinga Trump terkena peluru semasa cubaan bunuh

FOTO AFP

WASHINGTON, 27 Julai- Biro Penyiasatan Persekutuan FBI mengesahkan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump terkena peluru semasa percubaan pembunuhannya awal bulan ini di negeri Pennsylvania.

Telinga kanan Trump dilihat berlumuran darah pada 13 Julai selepas dia cedera semasa perhimpunan kempen di Pennsylvania.

"Yang mengenai telinga bekas Presiden Trump ialah peluru, sama ada keseluruhan atau terpecah menjadi kepingan lebih kecil, yang dilepaskan dari senapang subjek si mati," kata biro itu dalam kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan dua hari selepas Pengarah FBI Christopher Wray memberitahu Jawatankuasa Kehakiman Dewan Perwakilan bahawa "terdapat beberapa persoalan tentang sama ada peluru atau serpihan peluru yang, anda tahu, mengenai telinganya."

Thomas Matthew Crooks, 20, melepaskan tembakan ke arah Trump semasa satu himpunan kempen di Butler County pada 13 Julai, mengenai telinga kanan beliau. Penembak itu juga meragut nyawa Corey Comperatore dan menyebabkan kecederaan yang serius kepada dua yang lain.

Crooks terbunuh di tempat kejadian.

Dalam catatan di platform media sosialnya, Truth Social, Trump, yang merupakan calon presiden Parti Republikan dalam pilihan raya presiden November, berkata: "Saya anggap itu adalah permintaan maaf terbaik yang akan kita dapat daripada Pengarah Wray, tetapi ia diterima sepenuhnya!"

Bekas doktor White House dan ahli kongres Republikan Ronny Jackson dari Texas berkata dalam satu surat sebelum ini bahawa tidak ada bukti yang menunjukkan Trump terkena benda asing selain peluru.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE