TUNIS, 10 Februari- Pihak berkuasa Libya menemukan sebuah kubur besar mengandungi 28 mayat migran dari Afrika sub-Sahara di daerah Kufra, tenggara negara itu, berhampiran lokasi mangsa dipercayai telah ditahan dan diseksa, menurut Pejabat Peguam Negara Libya hari ini.
Penemuan itu dibuat selepas serbuan ke atas tapak pemerdagangan manusia yang menyaksikan pihak berkuasa menyelamatkan 76 migran Afrika sub-Sahara yang telah ditahan dan dianiaya.
Operasi berkenaan dijalankan lewat malam Sabtu.
Menurut kenyataan, serbuan itu menyasarkan "kumpulan jenayah yang menahan migran tanpa dokumen secara paksa, menyeksa serta memperlakukan mereka dengan cara kejam, menghina dan tidak berperikemanusiaan."
Mayat-mayat mangsa ditemui berhampiran lokasi tahanan, manakala tiga individu telah ditahan terdiri daripada seorang warga Libya dan dua warga asing.
Gambar dimuat naik bersama kenyataan di media sosial menunjukkan migran dalam keadaan kurus kering dengan kesan luka pada wajah, anggota badan dan belakang mereka.
Libya terus berdepan dengan ketidakstabilan sejak kebangkitan disokong NATO pada 2011 yang menumbangkan diktator Moamer Kadhafi.
Negara itu kini terbahagi antara kerajaan diiktiraf Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bawah Abdulhamid Dbeibah dan pihak berkuasa saingan di timur yang disokong oleh Khalifa Haftar.
Ketidakstabilan itu telah dimanfaatkan oleh penyeludup dan sindiket pemerdagangan manusia.
Libya menjadi lokasi utama bagi migran dari Afrika sub-Sahara yang mahu merentasi Laut Mediterranean untuk mencari kehidupan lebih baik di Eropah.
Bulan lalu, pihak berkuasa Libya menahan dua individu didakwa menyeksa dan menahan 263 migran di El Wahat bagi tujuan pemerasan.
Mangsa dipaksa membayar wang tebusan sehingga AS$17,000 bagi pembebasan migran Somalia dan AS$10,000 bagi migran Eritrea.
Pada Mac tahun lalu, sebuah lagi kubur besar mengandungi sekurang-kurangnya 65 mayat migran ditemui di barat daya Libya, menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) bawah PBB.
"Ia adalah bukti jelas bahawa kegagalan bertindak membawa kepada lebih banyak kematian dan penderitaan terhadap migran," kata IOM dalam satu kenyataan. -AFP