LONDON, 10 Februari – Pergolakan bersejarah di Asia Barat mula menarik pelabur antarabangsa yang optimis terhadap prospek keamanan dan pemulihan ekonomi selepas tempoh ketidakstabilan berpanjangan.
Cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, agar AS mengambil alih Gaza mencetuskan kebimbangan, namun perkembangan seperti gencatan senjata dalam perang Israel-Hamas, penyingkiran Bashar al-Assad dari Syria, kelemahan Iran, serta pembentukan kerajaan baharu di Lubnan telah menimbulkan harapan terhadap pemulihan rantau itu.
Mesir, negara paling padat penduduk di rantau itu serta perantara utama dalam rundingan damai baru-baru ini, berjaya mengadakan penjualan hutang dolar pertamanya dalam tempoh empat tahun setelah hampir berdepan krisis ekonomi.
Pelabur juga kembali membeli bon Israel dan Lubnan, dengan harapan Beirut akhirnya dapat menangani krisis politik, ekonomi, dan kewangan yang saling berkaitan.
"Beberapa bulan terakhir benar-benar mengubah landskap rantau itu dan mencetuskan dinamik yang berbeza dalam senario terbaik," kata Charlie Robertson, penganalisis pasaran pesat membangun di FIM Partners.
Namun, beliau turut mempersoalkan sama ada rancangan Trump untuk Gaza akan mencetuskan ketegangan semula.
Seruan Trump untuk "membersihkan" Gaza dan menjadikannya "Riviera Asia Barat" telah menerima kecaman antarabangsa.
Sebagai tindak balas terhadap bantahan tersebut, Mesir mengumumkan akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Kecemasan Arab pada 27 Februari bagi membincangkan perkembangan yang disifatkan sebagai "serius" terhadap rakyat Palestin.-REUTERS