fb fb fb fb fb

Menteri Alam Sekitar Colombia pula letak jawatan

Susana Muhamad/AFP

BOGOTÁ, 10 Februari- Menteri Alam Sekitar Colombia Susana Muhamad meletak jawatan hari ini, menjadikannya anggota kabinet kedua yang berundur dalam tempoh seminggu selepas Presiden Gustavo Petro mengkritik pasukannya secara terbuka di televisyen negara.

Susana sebelum ini menganjurkan Persidangan Biodiversiti COP16 PBB di Cali dan dilihat sebagai antara menteri berkaliber dalam kerajaan Petro.

Keputusan beliau untuk berundur dibuat lima hari selepas mesyuarat kabinet menyiarkan secara langsung selama lima jam yang mana Petro menegur beberapa pegawainya termasuk menteri perdagangan, pendidikan dan kesihatan atas kelewatan dalam pelaksanaan projek utama kerajaan.

Bagaimanapun, Susana merupakan antara segelintir yang menerima pujian daripada Petro.

Dalam wawancara bersama saluran dalam talian Los Danieles, Susana menyatakan bahawa keputusan untuk berundur adalah sukar dan dipengaruhi oleh penglibatan Armando Benedetti dalam pentadbiran kerajaan.

Benedetti, pembantu rapat Petro sedang disiasat berhubung pembiayaan kempen secara tidak sah semasa pilihan raya 2022 dan turut berdepan dakwaan keganasan rumah tangga.

Susulan mesyuarat kabinet berkenaan, Menteri Kebudayaan Juan David Correa, serta Ketua Agensi Negara DAPRE, Jorge Rojas turut mengumumkan peletakan jawatan mereka.

 Susana sebelum ini disebut-sebut sebagai calon berpotensi untuk menggantikan Petro apabila penggalnya berakhir pada 2026. -AFP

SITI AISHAH MD ISA