KAHERAH, 10 Februari – Delegasi Israel tiba di Qatar pada Ahad bagi mengadakan rundingan gencatan senjata Gaza, menurut jurucakap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.
Ini dilakukan selepas tentera Israel berundur dari satu titik lintasan penting di wilayah berkenaan, sebagaimana yang dipersetujui dalam perjanjian gencatan senjata dengan Hamas.
Rundingan tidak langsung antara Israel dan Hamas mengenai fasa seterusnya gencatan senjata dijadualkan bermula minggu ini, susulan lawatan Netanyahu ke Amerika Syarikat (AS) minggu lalu.
Namun, menurut sumber dari pejabat Netanyahu, perbincangan pada peringkat tersebut hanya melibatkan isu teknikal dan bukan perkara lebih besar seperti pentadbiran Gaza pasca perang.
Minggu lalu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menggesa rakyat Palestin dipindahkan dari Gaza dan wilayah itu diletakkan di bawah pemilikan AS untuk dibangunkan semula.
Bagaimanapun, pegawai AS kemudian menarik balik sebahagian kenyataan tersebut, menyatakan bahawa rakyat Palestin boleh kembali ke Gaza selepas kawasan itu dibersihkan daripada bahan letupan yang tidak meletup dan dibangunkan semula.
Rancangan Trump menerima kritikan meluas, dengan sesetengah pihak menyifatkannya sebagai "pembersihan etnik".
Sebaliknya, pegawai Israel menyambut baik cadangan tersebut.
Kabinet keselamatan Netanyahu dijadualkan membincangkan cadangan Trump serta fasa kedua gencatan senjata pada Selasa, menurut sumber dari pejabatnya.
Washington, Qatar dan Mesir menjadi pengantara gencatan senjata, yang setakat ini masih terpelihara.
Selaras dengan perjanjian tersebut, pada Ahad, tentera Israel menyelesaikan pengunduran dari kedudukan terakhir mereka di Koridor Netzarim, yang memisahkan Gaza.-REUTERS