fb fb fb fb fb

Pakistan, OIC kecam Netanyahu cadang negara Palestin di Arab Saudi

Benjamin Netanyahu/AFP

NEW DELHI, 10 Februari- Pakistan mengecam Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Ahad kerana mencadangkan agar sebuah negara Palestin ditubuhkan di Arab Saudi.

Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar berkata negaranya "mengutuk sekeras-kerasnya" kenyataan yang dibuat oleh pemimpin Israel itu.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Pakistan, kenyataan itu adalah "tidak bertanggungjawab, bersifat provokatif dan tidak bertimbang rasa".

Pakistan serta negara-negara Islam lain menyifatkan kenyataan Netanyahu itu sebagai tindakan yang menjejaskan hak rakyat Palestin untuk memiliki negara mereka sendiri yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara

Mesir menegaskan bahawa keselamatan dan kedaulatan Arab Saudi adalah satu "garis merah" dan ia tidak akan membenarkan sesiapa melintasinya.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pula menyifatkan kenyataan pemimpin Israel itu sebagai "hasutan terhadap Arab Saudi serta satu pelanggaran terhadap kedaulatan, keselamatan nasional dan integriti wilayah negara itu, yang jelas melanggar prinsip undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB)".

Badan yang dianggotai 57 negara itu turut menolak sebarang rancangan Israel untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah yang diduduki entiti Yahudi secara haram.

Semasa lawatan Netanyahu ke White House baru-baru ini, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dikatakan membincangkan rancangan untuk memindahkan penduduk Palestin dari Gaza serta membolehkan wilayah itu diambil alih oleh AS.

Kenyataan provokatif pemimpin AS dan Israel itu telah mencetuskan kemarahan di peringkat global kerana jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

Jordan, Qatar, Kuwait dan Iraq turut mengecam kenyataan Netanyahu mengenai Arab Saudi.

Ketua Liga Arab Ahmed Aboul Gheit menyifatkan retorik Netanyahu sebagai tidak boleh diterima dan jauh daripada realiti.

Sementara itu, Menteri Luar Pakistan telah mengadakan perbincangan telefon dengan rakan sejawatnya dari Mesir, Turkiye dan Iran mengenai perkembangan terkini di Gaza serta situasi kemanusiaan di wilayah berkenaan.

Dar juga menyatakan sokongan Pakistan untuk diadakan mesyuarat luar biasa Majlis Menteri-Menteri Luar OIC bagi membincangkan isu Gaza. -BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA