fb fb fb fb fb

Trump umum tarif 25 peratus atas import keluli, aluminium

Donald Trump/AFP

WASHINGTON, 10 Februari- Presiden Donald Trump mengumumkan Amerika Syarikat (AS) akan mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas import keluli dan aluminium bermula minggu ini sebagai langkah perlindungan industri domestik.

Trump menyatakan kepada wartawan atas pesawat Air Force One bahawa tarif itu akan dikenakan ke atas "semua keluli yang memasuki Amerika Syarikat" termasuk aluminium dan akan diumumkan secara rasmi pada Isnin.

Sebelum ini, beliau mengenakan langkah serupa semasa pentadbirannya dari 2017 hingga 2021 bagi melindungi industri tempatan daripada persaingan yang dianggap tidak adil dari negara-negara Asia dan Eropah.

Kanada merupakan sumber utama import keluli dan aluminium ke Amerika Syarikat diikuti oleh Brazil, Mexico dan Korea Selatan berdasarkan data perdagangan AS.

Trump turut mengumumkan kerajaan akan melaksanakan "tarif timbal balik" terhadap negara yang mengenakan kadar cukai lebih tinggi ke atas produk Amerika Syarikat.

"Saya akan pastikan semua negara dikenakan tarif sama seperti yang mereka kenakan atas kita," katanya sambil menyatakan pengumuman penuh dan terperinci akan dibuat pada Selasa atau Rabu.

Sejurus selepas memegang jawatan, Trump telah mengenakan tarif ke atas beberapa rakan dagang utama termasuk China, Mexico dan Kanada.

Walaupun beliau menangguhkan tarif ke atas Kanada dan Mexico selama sebulan selepas kedua-dua negara bersetuju untuk meningkatkan usaha membendung penyeludupan fentanyl dan penghijrahan tidak terkawal, tarif terhadap China tetap diteruskan.

Beijing bertindak balas dengan mengenakan tarif ke atas produk Amerika Syarikat seperti arang batu dan gas asli cecair.

Menurut Goldman Sachs, tarif baharu dari China melibatkan produk bernilai AS$14 bilion, manakala tarif diumumkan Trump merangkumi AS$525 bilion barangan China.

Dalam pada itu, Presiden Perancis Emmanuel Macron memberi amaran bahawa tarif ke atas Kesatuan Eropah akan meningkatkan kos dan menyumbang kepada inflasi di Amerika Syarikat. Beliau turut menggesa pentadbiran Trump agar memberi tumpuan kepada persaingan dengan China, bukannya Eropah.

Sementara itu, Trump turut memberi amaran kepada Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba bahawa Tokyo boleh dikenakan tarif sekiranya gagal mengurangkan defisit perdagangan dengan Washington ke tahap sifar.

Defisit perdagangan Amerika Syarikat meningkat kepada hampir AS$920 bilion tahun lalu.

Trump yang berjanji membawa "era kegemilangan baharu" bagi negaranya menegaskan kesan tarif akan ditanggung oleh pengeksport luar tanpa menjejaskan pengguna domestik, meskipun pakar ekonomi berpendapat sebaliknya.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa rakyat Amerika mungkin merasai kesan ekonomi akibat langkah itu. -AFP

SITI AISHAH MD ISA