KIEV, 8 November - Sekurang-kurangnya 25 orang cedera dalam serangan waktu malam oleh Rusia ke atas sebuah blok pangsapuri di Kharkiv.
Blok pangsapuri 12 tingkat itu telah terkena bom yang memusnahkan sebahagian tingkat pertama dan ketiga, menurut Datuk Bandar, Igor Terekhov di Telegram.
"Bilangan yang cedera terus meningkat. Sehingga kini, terdapat 25 orang yang cedera," tambahnya.
Usaha menyelamat sedang dijalankan untuk penghuni yang terperangkap di tingkat tiga.
Ketua staf presiden Ukraine, Andriy Yermak, menuduh Rusia "secara sengaja menyerang blok pangsapuri".
"Rusia juga sedang menyerang Kiev dengan peluru berpandu," tambahnya.
Secara berasingan, pejabat tentera Kiev menyatakan bahawa sistem pertahanan udara anti-peluru berpandu sedang beroperasi di ibu kota.
Satu serangan dron juga menyasarkan Odessa dan kawasan pinggir di selatan negara itu, mencederakan sekurang-kurangnya dua orang, menurut kenyataan gabenor wilayah, Oleg Kiper.
Pada Khamis, Kiev disasarkan oleh satu lagi serangan dron besar-besaran oleh Rusia yang mencederakan dua orang, merosakkan bangunan dan menyebabkan kebakaran di beberapa daerah, menurut pihak berkuasa Ukraine.
Rusia telah menyasarkan ibu kota secara sistematik dengan serangan dron dan peluru berpandu sejak hari pertama pencerobohannya yang dilancarkan hampir tiga tahun lalu pada 24 Februari 2022.
Pihak berkuasa Ukraine telah meminta sistem pertahanan udara daripada sekutu mereka untuk menangkis serangan udara Rusia.-AFP