TAIPEI, 8 November – Pengawal pantai Taiwan berkata pihaknya akan menawarkan ganjaran bernilai ribuan dolar kepada sesiapa yang melaporkan aktiviti China di laut, termasuk kehadiran kapal perang atau kapal selam.
Inisiatif itu bertujuan memanfaatkan "kuasa rakyat" untuk memperkukuh tenaga kerja mereka yang terhad.
Selama lima tahun kebelakangan ini, Taiwan, yang dituntut oleh China sebagai wilayahnya, mengadu tentang peningkatan aktiviti ketenteraan China, dan pengawal pantai Taiwan semakin kerap terlibat dalam rondaan laut.
Menurut pegawai Taiwan, penglibatan pengawal pantai China merupakan sebahagian daripada strategi "zon kelabu" yang tidak melibatkan peperangan, namun bertujuan untuk menguatkuasakan tuntutan kawalan China terhadap Selat Taiwan.
Pengawal pantai Taiwan menegaskan bahawa ancaman di laut semakin meningkat.
"Pengawal pantai mempunyai tenaga kerja yang terhad, namun terdapat kuasa rakyat yang tidak berkesudahan di laut," menurut kenyataan mereka.
Bagi membentuk rangkaian pemberitahuan yang kukuh di laut dan pantai, pengawal pantai menyeru rakyat Taiwan untuk meningkatkan kesedaran keselamatan maritim dan berwaspada terhadap sebarang aktiviti luar biasa.
Ganjaran tertinggi sebanyak T$200,000 (RM28,122) ditawarkan bagi laporan berkaitan lanun, pembunuhan, pembakaran, atau penculikan.
Melaporkan kemasukan secara haram warga China pula akan memperoleh T$50,000. Bagi laporan "yang disahkan" mengenai kehadiran kapal perang atau kapal selam China di perairan Taiwan, ganjaran sebanyak T$3,000 setiap kes akan diberikan.
Pengawal pantai sebelum ini menerima kritikan kerana gagal mengesan beberapa kes pendaratan warga China yang menyeberangi selat menggunakan bot kecil yang sukar dikesan radar.
Pada Jun lalu, bot nelayan Taiwan merakamkan gambar sebuah kapal selam China yang muncul di permukaan selat.
Sebagai langkah meningkatkan keselamatan maritim, Taiwan telah melabur dalam kapal pengawal pantai yang lebih besar dan moden, dengan beberapa daripadanya boleh dilengkapi peluru berpandu sekiranya berlaku peperangan.-REUTERS