(Seekor kucing dilitupi abu semasa kebakaran hutan di Santa Juana, wilayah Concepcion, Chile
pada 5 Februari 2023/AFP)
SANTA JUANA, 6 Februari- Sekurang-kurangnya 24 orang terkorban, manakala hampir 1,000 lagi cedera dalam kebakaran hutan yang merebak sejak lima hari lalu ketika gelombang panas melanda selatan-tengah Chile.
Sebanyak 800 kediaman musnah dengan kira-kira 270,000 hektar tanah di wilayah yang terletak kira-kira 500 kilometer di selatan ibu kota Santiago, turut musnah dijilat api.
Pegawai kementerian dalam negeri, Manuel Monsalve berkata, jumlah korban berkenaan termasuk seorang anggota bomba dan dua anak kapal sebuah helikopter yang terhempas pada Jumaat.
"997 orang mengalami kecederaan berkaitan kebakaran, 26 daripadanya dalam keadaan serius.
"Lapan anggota bomba adalah antara yang cedera," katanya.
Kira-kira 5,300 anggota bomba dikerah untuk memadam kebakaran yang turut membunuh banyak haiwan.
Setakat ini, 10 individu sudah ditangkap kerana disyaki suspek yang melakukan pembakaran.
Darurat bencana juga diisytiharkan di kawasan paling teruk terjejas di wilayah Nuble, Biobio dan La Araucania yang membenarkan penggunaan sumber tambahan, sekatan pergerakan dan penggunaan askar dalam operasi pembendungan.
Negara lain termasuk Sepanyol, Argentina, Brazil, Uruguay dan Mexico turut menawarkan bantuan memadam kebakaran. -AFP
(Anggota bomba dilihat semasa kebakaran di Puren, wilayah Araucania, Chile
pada 4 Februari 2023/AFP)