WASHINGTON, 27 Januari- White House pada Ahad memaklumkan perjanjian antara Lubnan dan Israel telah dilanjutkan sehingga 18 Februari, susulan kegagalan Israel mematuhi tarikh akhir untuk menarik keluar tenteranya.
"Perjanjian antara Lubnan dan Israel, yang dipantau oleh Amerika Syarikat, akan kekal berkuat kuasa sehingga 18 Februari 2025," menurut kenyataan ringkas White House.
Kerajaan Amerika Syarikat pimpinan Donald Trump turut menyatakan pihaknya akan berunding dengan Israel dan Lubnan bagi mengusahakan pembebasan tahanan Lubnan.
Kenyataan itu tidak secara jelas menyebut tentang gencatan senjata yang kini semakin diragui, berikutan tentera Israel membunuh 22 orang pada Ahad, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.
White House juga tidak merujuk kepada Perancis, yang sebelum ini bekerjasama dengan Amerika Syarikat di bawah bekas presiden Joe Biden untuk mencapai gencatan senjata pada 27 November.
Perjanjian tersebut menamatkan kempen ketenteraan Israel di Lubnan terhadap Hezbollah yang disokong Iran. Di bawah perjanjian 60 hari itu, tentera Lubnan dijadualkan ditempatkan bersama pasukan pengaman PBB di selatan, sementara tentera Israel akan berundur.
Namun, Israel baru-baru ini menegaskan ia tidak akan memenuhi tarikh akhir tersebut, dengan alasan bahawa tentera Lubnan yang masih di peringkat awal tidak memenuhi komitmennya.
Pada Ahad, tentera Israel melepaskan tembakan dan membunuh 22 orang, termasuk enam wanita, ketika mereka pulang ke kampung halaman, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.
Tentera Israel mendakwa mereka menyasarkan individu yang dianggap sebagai ancaman kepada tenteranya.-AFP