fb fb fb fb fb

22 orang maut, puak pemisah Pakistan letupkan stesen keretapi

FOTO AFP

QUETTA, 9 November- sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dalam satu tragedi pengeboman pada Sabtu yang menyasarkan stesen keretapi di wilayah Balochistan, menurut pegawai tempatan dan kumpulan militan.

Letupan berlaku ketika para penumpang sedang menunggu di platform di stesen keretapi utama di ibu kota wilayah, Quetta.

"Jumlah kematian telah meningkat kepada 22, termasuk seorang wanita," kata Shahid Rind, jurucakap kerajaan Balochistan.

Jurucakap sebuah hospital tempatan melaporkan bahawa 46 orang yang cedera dalam letupan itu telah dibawa ke fasiliti tersebut, bersama beberapa mayat.

Meskipun serangan sering berlaku di Balochistan, jumlah korban daripada letupan pada Sabtu adalah sangat tinggi bagi wilayah barat daya tersebut, yang bersempadan dengan Afghanistan dan Iran.

Letupan berlaku sekitar pukul 8.45 pagi menyaksikan Tentera Pembebasan Baloch (BLA), salah satu kumpulan pemisah utama di kawasan itu mengaku bertanggungjawab.

Serangan tersebut "dilancarkan ke atas unit tentera Pakistan di stesen keretapi Quetta selepas menamatkan kursus di Sekolah Infantri," menurut kenyataan daripada BLA.

Kumpulan tersebut sering mendakwa bertanggungjawab atas serangan maut terhadap pasukan keselamatan atau rakyat Pakistan dari wilayah lain, terutama dari Punjab.

Di stesen Quetta, polis sedang menyiasat punca letupan.

"Katika kami sampai, pada awalnya nampak seperti bahan letupan mungkin telah disembunyikan atau ditinggalkan dalam bagasi. Tapi sekarang kami fikir mungkin ia serangan pengebom berani mati," kata Muhammad Baloch, seorang pegawai kanan polis tempatan kepada wartawan.

Pasukan bomba, penyelamat, dan penumpang sedang memeriksa bagasi yang ditinggalkan di platform, di bawah kawalan ketat anggota keselamatan bersenjata.

Militan sebelum ini mensasarkan projek tenaga dengan pembiayaan asing terutamanya dari China, mendakwa pihak luar mengeksploitasi wilayah kaya sumber ini tanpa melibatkan penduduk di wilayah termiskin di Pakistan.

Pada bulan Ogos lalu, BLA mendakwa bertanggungjawab atas serangan yang diselaraskan oleh puluhan penyerang yang membunuh sekurang-kurangnya 39 orang, salah satu jumlah korban tertinggi yang pernah berlaku di wilayah tersebut.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE