fb fb fb fb fb

21 orang maut dalam kejadian ribut di AS

Kesan puting beliung yang melanda Arkansas, Amerika Syarikat/ REUTERS

WASHINGTON 28 Mei- Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh di empat negeri di Amerika Syarikat dalam kejadian taufan dan puting beliung yang melanda bahagian selatan dan pergunungan Ozark.

Pihak berkuasa kecemasan negeri melaporkan, sekurang-kurangnya lapan kematian di Arkansas, tujuh di Texas, empat di Kentucky dan dua di Oklahoma.

Insiden itu turut memusnahkan ratusan bangunan

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan mengeluarkan amaran ribut petir yang kuat untuk New Jersey, New York dan Pennsylvania sehingga petang Isnin. Ia melibatkan lebih 30 juta penduduk di bahagian timur laut dan ribut dijangka bergerak ke bahagian pantai timur.

Sementara itu, Gabenor Kentucky Andy Beshear mengisytiharkan darurat awal pada hari Isnin.
Perkhidmatan cuaca mengeluarkan amaran ribut petir yang kuat untuk kawasan Atlanta dan bahagian lain di Georgia dan beberapa daerah barat Carolina Selatan.

"Ia adalah malam yang sukar untuk orang kami," katanya menerusi platform media sosial X.

Dalam sidang media, beliau turut memberitahu bahawa ribut yang dahsyat telah melanda hampir seluruh negeri.

Sementara itu, White House menerusi kenyataan berkata Presiden Joe Biden mengucapkan takziah atas nyawa yang terkorban.

White House turut memaklumkan Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan berada di lapangan untuk menjalankan penilaian kerosakan bersama pihak berkuasa tempatan.

Tambahnya, Biden juga telah mengarahkan agensi persekutuan untuk memberikan bantuan seperti yang diperlukan.

Menurut laman web PowerOutage.US, ratusan ribu rakyat Amerika juga terputus bekalan elektrik. Di Kentucky sahaja, lebih daripada 160,000 pengguna terjejas bekalan elektrik.

Cuaca ekstrem ini berlaku beberapa hari selepas puting beliung kuat melanda bandar Iowa, yang membunuh empat orang dan lebih banyak angin kencang melanda Texas minggu lalu.

Dalam pada itu, AS sedang bersiap siaga untuk menghadapi musim taufan Atlantik yang dijangka 'luar biasa' bermula Sabtu depan.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN