FOTO AFP
SEOUL, 1 Januari– Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un meletakkan isu ekonomi sebagai intipati ucapan dan agenda negara pada akhir mesyuarat utama parti pemerintah, tanpa menyebut penglibatan Amerika Syarikat, memetik laporan media kerajaan.
Dalam ucapan tahun baharu sebelum ini, Kim sering mengetengahkan isu nuklear namun kali ini memberi fokus kepada isu bekalan makanan dan pembangunan negara pada sidang pleno Parti Pekerja Korea.
Negara miskin dan memiliki senjata nuklear itu berada dalam sekatan tegar COVID-19 yang dilaksanakan sendiri menyebabkan ekonomi rakyat terjejas sekali gus berdepan masalah kekurangan bekalan makanan yang serius.
“Mencapai langkah untuk menyelesaikan isu berkaitan keperluan harian rakyat dibentangkan sebagai tugas penting, lapor Agensi Berita Pusat Korea, KCNA memetik ucapan KIM.
Pandemik yang menyaksikan penutupan sempadan menyebabkan Korea Utara merekodkan penguncupan ekonomi terbesar dalam tempoh lebih dua dekad pada 2020, menurut laporan Bank Pusat Korea Selatan.
Kembimbangan mengenai krisis makanan yang teruk telah meningkat dan seorang pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu memberi amaran pada Oktober lalu, risiko paling hampir adalah “kebuluran”.
Kim yang mengambil alih kuasa lebih sedekad lalu, selepas kematian ayahnya, Kim Jong Il berkata dalam mesyuarat parti bahawa menangani pandemik adalah salah satu matlamat untuk tahun akan datang.
“Langkah kecemasan antiwabak mesti menjadi keutamaan negara dan perlu dilaksanakan bersungguh-sungguh tanpa sedikit pun jurang kelemahan mahupun kelonggaran, kata KCNA. -AFP