fb fb fb fb fb

200 anggota tentera AS ke Asia Barat pantau gencatan senjata di Gaza

Sebahagian bandar Gaza yang dimusnahkan rejim Israel/AFP

WASHINGTON, 10 Oktober - Amerika Syarikat (AS) akan menghantar pasukan tentera seramai 200 anggota ke Asia Barat bagi memantau pelaksanaan gencatan senjata di Gaza.

Ini selepas pihak Israel dan Hamas bersetuju dengan perjanjian tersebut yang dimeterai berdasarkan pelan damai yang disokong Amerika Syarikat.

Menurut pegawai rasmi Washington, Ketua Komando Pusat Tentera AS, Laksamana Brad Cooper akan mengetuai pasukan tersebut.

"Cooper ditugaskan untuk memantau, memerhati dan memastikan tiada pelanggaran terhadap perjanjian itu." katanya.

Pegawai tentera dari Mesir, Qatar, Turkiye dan kemungkinan Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan turut serta dalam pasukan bersepadu itu.

Tiada anggota tentera AS akan ditempatkan di Gaza.

“Pasukan berkenaan akan menubuhkan pusat kawalan bersama dan menyelaras semua pasukan keselamatan lain, bagi mengelak pertindihan dengan Pasukan Pertahanan Israel,” kata seorang lagi pegawai. -AFP

SITI AISHA MELISA YUHANIZ