fb fb fb fb fb

20 maut dalam insiden bas terbakar di Rajasthan

Foto REUTERS

MUMBAI, 15 Oktober -Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh selepas sebuah bas yang membawa lebih 50 penumpang terbakar ketika dalam perjalanan di negeri barat India, Rajasthan, pada Selasa, menurut laporan media tempatan dan pegawai.

Bas berkenaan sedang dalam perjalanan dari Jaisalmer ke Jodhpur.

"Sebanyak 19 penumpang maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia akibat kecederaan melecur dalam perjalanan ke hospital di Jodhpur," kata pegawai kanan polis, Rajesh Meena, kepada AFP.

Agensi berita Press Trust of India (PTI) melaporkan bahawa bas tersebut berhenti di tepi lebuh raya selepas asap mula keluar dari bahagian belakang kenderaan.

"Pemandu memberhentikan bas di tepi jalan, tetapi dalam beberapa saat sahaja, api marak dan membakar keseluruhan kenderaan," menurut laporan PTI.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, dalam kenyataannya berkata beliau “sangat sedih dengan kehilangan nyawa” dalam tragedi itu dan mendoakan agar mangsa yang cedera segera sembuh.

Modi turut mengumumkan bantuan kewangan sebanyak 200,000 rupee (sekitar RM11,200) kepada keluarga mangsa yang terkorban, dan 50,000 rupee (sekitar RM2,800) kepada yang cedera, melalui Tabung Bantuan Kebangsaan Perdana Menteri. - AFP

TETITIA YUSOFF