JAKARTA, 15 Oktober -Gunung berapi Lewotobi Laki-Laki di Pulau Flores, Indonesia, meletus sebanyak dua kali lewat malam Selasa.
Menurut Agensi Vulkanologi Indonesia pada Rabu letusan tersebut telah memuntahkan abu setinggi 10 kilometer ke udara.
Letusan itu berlaku dari puncak gunung berketinggian 1,584 meter, menyebabkan awan debu tebal menyelubungi ruang udara kawasan sekitarnya.
Ketua Agensi Geologi Indonesia, Muhammad Wafid memaklumkan pihak berkuasa telah meningkatkan tahap amaran gunung berapi tersebut ke tahap tertinggi pada malam Selasa,
Beliau turut memberi amaran bahawa tiang abu yang tinggi itu berpotensi mengganggu operasi lapangan terbang serta laluan penerbangan sekiranya terus merebak.
Lapangan terbang tempatan di bandar Maumere, terletak kira-kira 60 kilometer ke barat Gunung Lewotobi, telah menggantung operasi sebagai langkah berjaga-jaga.
Pengumuman itu dibuat menerusi akaun Instagram rasmi lapangan terbang berkenaan.
Setakat ini, tiada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.
Agensi geologi turut menasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran sungai supaya berwaspada terhadap risiko banjir lahar aliran lumpur panas yang berbahaya, sekiranya hujan lebat berlaku. - AFP