fb fb fb fb fb

2 terkorban pesawat Filipina terhempas, 6 orang masih hilang dalam penerbangan berasingan

MANILA, 25 Januari- Dua juruterbang tentera udara Filipina terbunuh dalam nahas di kawasan ladang di barat laut Manila hari ini, sementara misi pencarian diteruskan bagi pesawat persendirian yang membawa enam lagi mangsa yang hilang di utara pergunungan daerah berkenaan, semalam.

Ketua Polis wilayah Bataan Kolonel Romell Velasco bercakap kepada AFP, penerbangan itu berlepas dari lapangan terbang Sangley di wilayah Cavite di Selatan Manila sebelum terhempas ke dalam sawah di wilayah Bataan.

"Pesawat itu benar-benar terbelah, di mana sayap juga terpisah dari badan pesawat," kata Velasco selepas melawat lokasi nahas.

"Mustahil untuk sesiapa pun bertahan dan terselamat dalam keadaan sebegini," katanya sambil menambah mayat telah ditemui.

Sementara itu, Jurucakap Tentera Udara Kolonel Maria Consuelo Castillo, berkata siasatan bagi menentukan punca nahas sedang dijalankan.

Pada Jun 2021, tentera menghentikan sementara keseluruhan armada Black Hawk selepas sebuah helikopter S-70i terhempas semasa latihan pada waktu malam, membunuh kesemua enam orang di dalamnya.


(Gambar edaran Biro Perlindungan Bomba Wilayah II yang diambil dan dikeluarkan pada
25 Januari menunjukkan penyelamat mengambil mayat dari pesawat yang terhempas
di Pilar, Bataan, di mana dua juruterbang tentera udara Filipina terbunuh/AFP)


Dalam kejadian berasingan di utara pergunungan negara itu, sebuah pesawat Cessna yang membawa seorang juruterbang dan lima penumpang gagal tiba di landasan udara terpencil pada hari Selasa, kata pihak berkuasa penerbangan awam Filipina.

Pesawat yang hilang itu berlepas dari lapangan terbang Cauayan di laluan yang akan membawanya merentasi banjaran gunung Sierra Madre, kata Eric Apolonio, jurucakap pengawal selia industri.

Pengawal trafik udara menjejak komunikasi penerbangan selepas pesawat itu tidak bertindak balas setengah jam selepas ia sepatutnya mendarat, katanya dalam satu kenyataan.

Operasi mencari dan menyelamat dihentikan buat sementara waktu berikutan cuaca buruk pada hari Rabu, tambahnya. -AFP

Media Baharu