KAHERAH, 20 November- Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh, termasuk seorang pegawai pertahanan awam, dalam serangan Israel di utara Gaza, semalam.
Menurut pegawai kesihatan Palestin, kesemua mangsa terkorban selepas Israel mengebom sebuah hospital dan meruntuhkan kediaman di Gaza.
"Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas sebuah rumah di kawasan Jabaliya.
"Ramai yang masih hilang, sementara usaha mencari dan menyelamatkan terus dijalankan.
"Seorang lelaki turut terbunuh akibat tembakan artileri di kawasan berhampiran," katanya kepada REUTERS.
Sementara itu, Pengarah Hospital Kamal Adwan di Beit Lahiya, Hossam Abu Safiya, berkata hospital tersebut dibom tanpa sebarang amaran oleh Israel.
"Ketika kejadian, pasukan perubatan sedang berusaha menyelamatkan seorang pesakit di unit rawatan rapi.
"Israel telah menahan 45 anggota pasukan perubatan dan menghalang kemasukan pasukan pengganti ke hospital tersebut," katanya.
Beliau menambah bahawa Israel tidak membenarkan makanan, air, ataupun ambulans memasuki utara Gaza.
Abu Safiya berkata hospital tersebut kini merawat 85 pesakit, termasuk kanak-kanak. - REUTERS